Saturday, December 18, 2010

Sijil Pengesahan Halal (SPH) Fotostat

Jika kita sedikit cermat dan bernasib baik, kita akan menjumpai premis perniagaan tertentu (kebanyakannya restoran) cenderung untuk mempamerkan SPH fotostat di sudut premis yang strategik seperti pintu kaca laluan masuk atau tempat memperagakan produk. Cuba luangkan sedikit masa yang ada dan buatlah pengamatan terhadap maklumat yang tertera pada SPH fotostat ini.

Jika sijil ini diperagakan di restoran, maklumat yang biasa tertera pada sijil ini adalah status halal bagi produk – produk tertentu seperti ayam keluaran syarikat A, atau mungkin fishball keluaran syarikat B dan bukannya maklumat yang menyebut secara khusus nama /alamat premis berkenaan serta status halal produk untuk jualan/keluaran premis berkenaan. Situasi yang sama juga berlaku jika sijil ini diperagakan di premis lain seperti pasaraya atau kedai – kedai tertentu.

Apakah persepsi anda sekiranya maklumat yang tertera pada sijil – sijil ini berbeza dengan apa yang ada di premis berkenaan. Mengejutkan? Ada yang tidak kena? Tak mengapa? Harus diingat, tindakan para pengusaha ini sebenarnya hanyalah helah palsu bagi memerangkap pengguna yang baik sangka tidak kena tempat atau ‘main belasah’ kononnya premis berkenaan halal.

Realitinya berdasarkan pengalaman penguatkuasaan halal, produk dan syarikat yang namanya tertera pada sijil inipun selalunya tidak digunakan/dijual di premis berkenaan. Justeru walau apapun persepsi anda, situasi ini adalah menyalahi etika sosial pengusaha – pelanggan dan undang - undang negara serta tidak boleh dibiarkan berterusan.

Sebagai pengguna yang berkuasa, tanpa sokongan dan permintaan kita mereka pasti terjejas. Teliti dan kenal pasti tindakan – tindakan seperti ini oleh pengusaha. Hentikan segera sokongan terhadap mereka. Pertikai dan persoalkan tindakan mereka. Jika setiap dari kita boleh mengambil peranan ini insya-Allah mereka akan berfikir semula banyak kali. Panjangkan aduan anda kepada agensi penguatkuasaan halal seperti Jabatan Agama Islam dan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ayuh mari kita lakukan!!

Sekian, wassalam.

Saturday, December 11, 2010

Jadikan Halal Agenda dan Azam Tahun Baru Hijrah

Sejauh mana sensitiviti kita terhadap status halal produk harian kita? Adakah semuanya jelas status halalnya. Setidak - tidaknya berapa peratus yang jelas pengesahan halalnya. Berapa ramai pula diantara kita yang pernah memikirkan perkara ini dengan serius?

Jika kita renung - renungkan sejenak kehidupan seharian kita selama ini pasti ramai yang setuju bahawa masih banyak produk makanan dan barang gunaan harian kita yang tiada pengesahan halal. Secara khusus, setakat mana status halal produk berikut kita yakini?

1. Makanan/minuman
2. Produk penjagaan dan perapian diri (contoh : sabun, ubat gigi, kosmetik)
3. Produk kesihatan (tambahan khasiat makanan, ubat)

Masih banyak yang tiada pengesahan halal bukan?

Selain status halal produk - produk di atas, perkara lain yang ingin saya kongsikan di sini adalah tentang sejauhmana kita menyokong dan menggunakan produk keluaran pengusaha Islam yang disahkan halal. Perkara ini tidak pula bermaksud bahawa saya anti kepada pengusaha bukan Islam.

Ini juga satu perkara yang saya kira memang berat termasuk saya untuk memenanginya 100% dalam situasi industri makanan dan barang gunaan pada hari ini masih dikuasai oleh pengusaha bukan Islam. Katakanlah apa sahaja, realitinya hampir semuanya masih perlu bergantung kepada pengusaha bukan Islam.

Sebenarnya telah ada kecenderungan dikalangan segelintir usahawan muslim khususnya bumiputera Melayu yang telah menceburi bidang perusahaan di atas walaupun masih kecil dan terhad. Saya kira kredit dan sokongan wajar diberikan kepada mereka ini kerana telah mewujudkan peluang dan alternatif kepada kita bagi mendapatkan barangan harian keluaran pengusaha Islam yang halal.

Harus diterima bahawa jika kita sebagai pengguna Islam sendiri tidak menyokong produk keluaran pengusaha Islam. Umat Islam memang akan kekal ditakuk lama pada hari ini, umat yang dianggap mundur.....kelas rendah.....dan lebih malang lagi sebagai pengganas.

Justeru, apakah jalan penyelesaian terbaik buat kita semua.

Ingin saya kongsikan pengalaman saya selama beberapa tahun ini dalam usaha menyokong dan menggunakan produk keluaran pengusaha Islam yang disahkan halal. Alhamdulillah saya hampir konsisten dalam perkara ini. Berikut adalah sebahagian contoh produk yang telah saya berjaya tukarkan.

1. minyak masak
2. ubat gigi
3. syampu
4. beras
5. krim rambut
6. kicap
7. mee

Tidak dinafikan harga dan kesetiaan/keselesaan saya terhadap sesuatu produk/jenama merupakan halangan utama yang sering membelenggu saya apabila kita mula berfikir untuk menukar produk/jenama sedia ada kepada produk keluaran Islam yang disahkan halal. Kadang kala walaupun dah cuba beristiqamah masih juga terbabas dek kerana kesukaran mendapatkan stok/bekalan produk berkenaan. Tekak dan hati saya juga memerlukan masa yang agak panjang untuk dididik semula menerima produk baru yang sedikit - sebanyak berbeza dengan produk lama

Memang sukar pada permulaan kerana kerana faktor - faktor diatas. Hakikatnya kita memerlukan satu pengorbanan, kesungguhan dan istiqamah dalam perkara ini. Cubalah dahulu, Insya - Allah pasti berjaya.

Akhir kata, sempena sambutan tahun 1432 hijrah ini marilah kita sama - sama berhijrah dalam perkara ini dengan membuat sedikit pengorbanan dengan berusaha menukarkan produk harian yang tiada pengesahan halal kepada yang disahkan halal dan dari pengusaha bukan Islam kepada keluaran pengusaha Islam yang disahkan halal .

wassalam.

salihinyusof@blogspot.com



Saturday, November 13, 2010

Operasi Ayam @ Selayang.

Terasa lama sungguh tidak menjengah blog ini membuat pengisian dek tugasan pejabat yg padat dan masalah konsentrasi di rumah. Lewat malam Jumaat yang lalu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menjemput kami membuat siasatan/penguatkuasaan operasi premis penyembelihan ayam di sekitar Selayang. 5 premis telah diperiksa sebagaimana laporan akhbar berikut:





boleh rujuk laporan akhbar Harian Metro versi online
13 November 2010 yang bertajuk 'JAIS serbu Pasar Borong Selayang - pekerja lari lintang pukang'






atau boleh rujuk laporan akhbar Utusan Kosmo versi online 13 November 2010 yang bertajuk 'Seorang sembelih 1000 ekor'

Saturday, October 23, 2010

Wujudkah Undang - Undang Halal Di Malaysia?

Setiap kali mendengar laporan tentang isu halal - haram di media massa, barangkali pernah kita terfikir bahawa pihak kerajaan seperti tidak serius dengan isu halal - haram dan berbuat sesuatu dari sudut undang - undang sehingga kes - kes penyelewengan yang didedahkan seperti tidak berkesudahan.

Dimanakah kedudukan halal - haram ketika ini dan benarkah kerajaan tidak serius serta tidak membuat apa - apa dari sudut undang - undang?

Sehingga ke hari ini di Malaysia belum ada satu undang - undang khusus di wujudkan bagi halal - haram makanan dan barang gunaan. Satu situasi yang pasti mengundang kehairanan dan pelbagai persoalan ramai orang walaupun Malaysia telah 53 tahun merdeka. Insya - allah akan diulas pada masa akan datang.

Justeru, apa yang digunakan ketika ini bagi menangani isu halal - haram khususnya yang berkaitan dengan penyelewengan? Secara umum isu halal - haram ditangani melalui undang - undang yang telah sedia wujud yang agak terhad tafsirannya, bersifat sebahagiannya dan ada di beberapa agensi kerajaan. Peruntukan undang - undang ini wujud seperti berikut:

1. Akta Perihal Dagangan, 1972
- Perintah Perihal Dagangan : Penggunaan Perbahasaan" HALAL", 1975

2. Akta Kastam, 1967
- Peraturan Pengimportan Daging Halal, 1982

3. Enakmen Jenayah Syariah Negeri - Negeri
- Contoh: Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor), 1995

4. Akta Kerajaan Tempatan, 1976
- Undang - Undang Kecil Iklan "HALAL" PBT (contoh : MBSA), 2007
(undang - undang ini hanya wujud ketika ini di Selangor)

Sekian, wassalam

www.salihinyusof.blogspot.com

24 Oktober 2010 @ 08;26 am

Tuesday, October 19, 2010

Apakah Sebenarnya E Number atau E Code

Pasti ramai orang diluar sana yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang sains makanan sering berhadapan dengan masalah berkaitan kod / nombor awalan E yang biasa digunakan dalam makanan. keliru dengan kod - kod nombor yang digunakan dan maklumat bahawa nombor sekian - sekian adalah tidak hala; dan sebagainya lg... Ini maklumat yang saya ingin kongsikan.

APAKAH MAKSUD E
Nombor E atau E number adalah kod bernombor yang digunakan bagi aditif atau bahan tambahan dalam makanan. huruf E bermaksud European atau Eropah. Ianya juga bermaksud aditif dengan nombor berkenaan telah diuji dan disahkan selamat digunakan di negara - negara Kesatuan Eropah. Penilaian dan kelulusan telah dijalankan oleh European Food Safety Authority dan sistem pernomboran dibuat berdasarkan International Numbering System (INS)

APAKAH TUJUANNYA?
Ia adalah satu sistem bernombor bagi tujuan pengkelasan dan identifikasi bahan tambahan makanan. Nombor ini membantu memendekkan penggunaan nama bahan tambahan yang ada kalanya panjang dan semestinya boleh menyukarkan banyak pihak. contohnya seperti berikut:

E 472e : Mono - and diacetyltartaric acid esters of mono- and diglycerides of fatty acids

Walaubagaimanapun sistem nombor ini kemudiannya telah diterima dibeberapa negara termasuk Malaysia sebagai nombor rujukan aditif makanan. keseluruhannya nombor ini bermula dengan E 100 sehingga E 1599 dan telah dikelaskan seperti kumpulan berikut:

E 100 - E 199 pewarna makanan
E 200 - E 299 bahan pengawet
E 300 - E 399 antioxidan dan pengawal asid
E 400 - E 499 pemekat, penstabil dan pengemulsi
E 500 - E 599 pengawal asid dan anti - caking (pelekat)
E 600 - E 699 penambah perisa
E 700 - E 799 antibiotik
E 900 - E 999 lain - lain
E 1000 - E 1599 bahan kimia tambahan

Wassalam

www.salihinyusof.blogspot.com
20 Oktober 2010 @ 12.30 am

Sama Tapi Tak Serupa

Berapa ramai diantara kita yang mengambil tindakan cermat dan berhati - hati dalam meneliti logo halal pada produk yang ada dipasaran? Berikut ingin saya kongsikan e-mail yang dihantar oleh pengarah JAIS kepada saya sedikit masa lalu.
Lebih kurang sama bukan bentuk logo halal berkenaan? Ini adalah realiti yang kita akan temui jika kita cermat dalam meneiti kepelbagaian logo halal dipasaran. Yang mana yang betul? Berikut ulasan saya bagi setiap satu logo berkenaan dari kanan ke kiri gambar.

LOGO PERTAMA:
Latar belakang logo dan ruang diantara bulatan dalam dengan bintang berbucu lapan warna hitam.
Sebagaimana dijelaskan dalam penulisan awal, warna pada logo bukan satu masalah


LOGO KEDUA:
Huruf 'ha' ada titik di atas Carian saya diinternet mendapati 'ttik' pada huruf 'ha' ini adalah satu anak panah kecil. perhatikan gambar berikut yang sama dan lebih jelas:


LOGO KETIGA:
Huruf 'ha' dan 'lam alif' yang berbeza.
Bentuk 'ha' mungkin berbeza dari jenis khat atau 'font' yang digunakannya tetapi saya pernah dimaklumkam bentuk 'lam alif ' nya adalah salah dari segi khatnya.

LOGO KEEMPAT
Bulatan segi warna hijau.
Isu disini sebenarna bukannya warna hijau berkenaan yang tela pun diulas tetapi bentuk logo halal ini tidak menepati spesifikasi Logo Halal Malaysia kerana tidak ada bintang kecil berbucu lima di kiri dan kanan bulatan luar yang memisahkan perkataan MALAYSIA' dalam tulisan rumi dan tulisan jawi

sekian. wassalam.

www.salihinyusof.blogspot.com

19 Oktober 2010 @ 11.25 pm

Sunday, October 3, 2010

Spesifikasi dan pemilik logo Halal Malaysia

Selain kekeliruan tentang nama logo halal Malaysia yang telah saya jelaskan, perkara yang penting wajar dijelaskan disini adalah tentang spesifikasi dan pemilikan logo halal ini.

Memandangkan JAKIM banyak bertindak sebagai urusetia dan penyelaras pensijilan halal, persetujuan yang dicapai semasa usaha penyeragaman logo halal lalu bersetuju supaya JAKIM mengusahakan pendaftarkan pemilikan logo halal Malaysia bagi melindungi kepentingan pengesahan halal JAIN dan JAKIM.

Sekitar tahun 2004 pendaftaran pemilikan logo halal ini telah diluluskan oleh Perbadanan Harta Intelek dan didaftarkan sebagai certification mark di bawah Akta Hakcipta 1976. Dibawah akta ini logo ini didaftarkan atas nama Ketua Pengarah JAKIM. Turut didaftarkan pemilikan logo ini adalah bersama pengarah JAIN/MAIN semua negeri di Malaysia.

Bagi memudahkan semua pihak khususnya industri yang mungkin akan terbeban dengan kos tambahan bagi warna logo yang berbeza dengan jenis warna yang digunakan pada bahan pembungkus contohnya, warna hitam dimasukkan dalam pendaftaran ini sebagai default colour logo halal Malaysia. Walaubagaimanapun pendaftaran warna ini tidak menyekat penggunaan warna - warna lain selagi mana logo ini menepati spesifikasi berikut:

a. bulatan luar dan bulatan dalam
b. bintang berbucu lapan ditengah - tengah bulatan dalam
c. perkataan arab 'حلآل' ditengah bintang
d. perkataan 'HALAL' di bawah perkataan arab
e. perkataan 'MALAYSIA' dalam tulisan rumi dan 'ماليزيا' dalam tulisan arab dalam ruang diantara bulatan dalam dengan bulatan luar
f. dua bintang kecil bagi memisahkan perkataan HALAL dalam tulisan rumi dan tulisan arab

WASSALAM

www.salihinyusof.blogspot.com
kemaskini 14 Oktober 2010 @ 01:11

Wednesday, September 29, 2010

Logo Halal JAKIM atau Logo Halal Malaysia?


Pastinya semua orang mengenali logo halal ini yang mudah dilihat dimana - mana sahaja. Penelitian saya secara umum mendapati ramai dikalangan kita menamakannya sebagai logo halal JAKIM. Benarkan logo ini logo halal JAKIM? ini adalah perkara yang ingin saya ulas buat pertama kalinya.

Tidak dinafikan bahawa nama JAKIM dengan pengesahan halal begitu sinonim, sebati dan hampir sukar untuk dipisahkan di Malaysia sejak dahulu, kini dan mungkin selamanya. begitu jugalah kisah disebalik kewujudan logo halal ini yang turut dilatari nama JAKIM.

Tahun - tahun awal saya terlibat dalam pengurusan halal adalah zaman dimana masyarakat di 'pening'kan dan dikelirukan dengan pelbagai bentuk logo halal yang dikeluarkan oleh jabatan agama Islam. Ada 15 bentuk logo halal yang dikeluarkan oleh jabatan agama Islam berada dipasaran pada ketika itu.

Pada tahun 2002 Jawatankuasa Penyelarasan Halal JAKIM - Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) telah ditubuhkan dengan tujuan untuk mengatasi masalah berbangkit berkaitan ketidakseragaman pelaksanaan pengurusan halal di peringkat kebangsaan. Antara fokus utama pada ketika ini adalah untuk mewujudkan satu logo halal yang seragam bagi menggantikan semua bentuk logo halal yang memeningkan, mengelirukan dan menyusahkan pengusaha - pengguna.

Alhamdulillah hasil toleransi dan kompromi semua jabatan agama Islam selepas beberapa siri perbincangan, logo halal yang baru seperti bentuk dibawah telah dipersetujui dan mula digunakan pada tahun 2004.


Diperingkat awal, kod H - 01 sehingga H - 15 diwujudkan bagi tujuan pengenalan dan rujukan pihak yang mengeluarkan pengesahan halal berkenaan. Huruf H bermaksud halal sementara kod nombor rujukan negeri dalam pendaftaran mykad yang digunakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) digunakan bagi mewakili negeri yang memberi/mengeluar pengesahan halal berkenaan. Kod - kod pendaftaran negeri yang digunakan adalah seperti berikut:

H - 01 Jabatan Agama Johor
H - 02 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah
H - 03 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan
H - 04 Jabatan Agama Islam Melaka
H - 05 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan
H - 06 Jabatan Agama Islam Pahang
H - 07 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang
H - 08 Jabatan Agama Islam Perak
H - 09 Jabatan Agama Islam Perlis
H - 10 Jabatan Agama Islam Selangor
H - 11 Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu
H - 12 Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah
H - 13 Jabatan Agama Islam Sarawak
H - 14 Jabatan Agama Islam Wilawah Persekutuan
H - 15 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Walaubagaimanapun, penggunaan kod H - 15 bagi JAKIM hanya seketika sahaja (saya tidak pasti tarikhnya bila) sebelum ianya tampil tanpa kod (seperti logo halal pertama di atas). Langkah yang sama turut disusuli oleh JAIN dimana kod pendaftaran di atas telah dimansuhkan mulai Januari 2009 lalu.

Tindakan ini diambil hasil maklum balas dari pengusaha - pengguna yang masih lagi 'pening', keliru dan susah dengan bentuk logo berkod di atas yang sebenarnya masih lagi sama 'rohnya' dengan logo halal terdahulu sebelum ditukar pada tahun 2004.

Memandangkan logo halal pertama di atas bukan sahaja diguna/dikeluarkan oleh JAKIM tetapi turut sama digunakan oleh semua JAIN maka sebenarnya sebagaimana yang dipersetujui diperingkat JAKIM - JAIN, ianya dikenali dengan nama logo halal Malaysia. belajarlah untuk mengenal dan membiasakan ia sebagai logo halal Malaysia dan bukannya logo halal JAKIM

SEKIAN.WASSALAM....


www.salihinyusof.blogspot.com

30 September 2010 @ 01:10

Monday, March 22, 2010

AZAM TAHUN 2010 : BERMULANYA PERJALANAN YANG JAUH…..

Salam ukhuwwah dan persaudaraan buat semua pengunjung blog saya ini.

Buat kali kedua sejak angan – angan untuk menulis sesuatu tentang pengalaman kerja di JAIS terlintas di kepala kira – kira setahun dua yang lalu, saya kembali mencuba tahun ini setelah terkandas tahun lalu dek kerana komitmen sedia ada pada kerja pejabat dan rumah tangga.

Segalanya bermula sejak saya diperkenalkan oleh rakan sepejabat sebuah laman web agama milik seorang tokoh yang saya kagumi ilmu dan pandangannya secara tak sengaja kira – kira 2 – 3 tahun yang lalu. Kekerapan saya mengikuti perkembangan laman web berkenaan akhirnya membuatkan saya terfikir……..bukankan bagus dan bermanfaat sekiranya sedikit sebanyak apa yang saya perolehi selama bertugas menguruskan hal – ehwal halal makanan dan barang gunaan di JAIS boleh dikongsikan orang lain, khususnya rakan – rakan dan kenalan yang kerap bertanya itu – ini tentang halal.

Risau juga kalau azam tahun 2010 ini tak kemana macam tahun lepas yang terbengkalai. Mudah – mudahan usaha kecil saya ini boleh konsisten dan berterusan. Seterusnya dapat mengisikan ruang – ruang kosong bagi sumber maklumat berkaitan isu halal haram makanan dan barang gunan yang semakin mendapat tempat dikalangan semua pihak di negara ini yang kadang kala dilaporkan sebagai kurang jelas atau mengelirukan.

Sebagai pendatang baru pastinya blog saya init tidak lepas dari kesilapan dan kekurangan. Justeru saya mohon maaf dan tunjuk ajar atas kekurangan diri.

Wassalam

www.salihinyusof.blogspot.com

23 Mac 2010 @ 12.32 am