Saturday, December 18, 2010

Sijil Pengesahan Halal (SPH) Fotostat

Jika kita sedikit cermat dan bernasib baik, kita akan menjumpai premis perniagaan tertentu (kebanyakannya restoran) cenderung untuk mempamerkan SPH fotostat di sudut premis yang strategik seperti pintu kaca laluan masuk atau tempat memperagakan produk. Cuba luangkan sedikit masa yang ada dan buatlah pengamatan terhadap maklumat yang tertera pada SPH fotostat ini.

Jika sijil ini diperagakan di restoran, maklumat yang biasa tertera pada sijil ini adalah status halal bagi produk – produk tertentu seperti ayam keluaran syarikat A, atau mungkin fishball keluaran syarikat B dan bukannya maklumat yang menyebut secara khusus nama /alamat premis berkenaan serta status halal produk untuk jualan/keluaran premis berkenaan. Situasi yang sama juga berlaku jika sijil ini diperagakan di premis lain seperti pasaraya atau kedai – kedai tertentu.

Apakah persepsi anda sekiranya maklumat yang tertera pada sijil – sijil ini berbeza dengan apa yang ada di premis berkenaan. Mengejutkan? Ada yang tidak kena? Tak mengapa? Harus diingat, tindakan para pengusaha ini sebenarnya hanyalah helah palsu bagi memerangkap pengguna yang baik sangka tidak kena tempat atau ‘main belasah’ kononnya premis berkenaan halal.

Realitinya berdasarkan pengalaman penguatkuasaan halal, produk dan syarikat yang namanya tertera pada sijil inipun selalunya tidak digunakan/dijual di premis berkenaan. Justeru walau apapun persepsi anda, situasi ini adalah menyalahi etika sosial pengusaha – pelanggan dan undang - undang negara serta tidak boleh dibiarkan berterusan.

Sebagai pengguna yang berkuasa, tanpa sokongan dan permintaan kita mereka pasti terjejas. Teliti dan kenal pasti tindakan – tindakan seperti ini oleh pengusaha. Hentikan segera sokongan terhadap mereka. Pertikai dan persoalkan tindakan mereka. Jika setiap dari kita boleh mengambil peranan ini insya-Allah mereka akan berfikir semula banyak kali. Panjangkan aduan anda kepada agensi penguatkuasaan halal seperti Jabatan Agama Islam dan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ayuh mari kita lakukan!!

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment