Saturday, December 18, 2010

Sijil Pengesahan Halal (SPH) Fotostat

Jika kita sedikit cermat dan bernasib baik, kita akan menjumpai premis perniagaan tertentu (kebanyakannya restoran) cenderung untuk mempamerkan SPH fotostat di sudut premis yang strategik seperti pintu kaca laluan masuk atau tempat memperagakan produk. Cuba luangkan sedikit masa yang ada dan buatlah pengamatan terhadap maklumat yang tertera pada SPH fotostat ini.

Jika sijil ini diperagakan di restoran, maklumat yang biasa tertera pada sijil ini adalah status halal bagi produk – produk tertentu seperti ayam keluaran syarikat A, atau mungkin fishball keluaran syarikat B dan bukannya maklumat yang menyebut secara khusus nama /alamat premis berkenaan serta status halal produk untuk jualan/keluaran premis berkenaan. Situasi yang sama juga berlaku jika sijil ini diperagakan di premis lain seperti pasaraya atau kedai – kedai tertentu.

Apakah persepsi anda sekiranya maklumat yang tertera pada sijil – sijil ini berbeza dengan apa yang ada di premis berkenaan. Mengejutkan? Ada yang tidak kena? Tak mengapa? Harus diingat, tindakan para pengusaha ini sebenarnya hanyalah helah palsu bagi memerangkap pengguna yang baik sangka tidak kena tempat atau ‘main belasah’ kononnya premis berkenaan halal.

Realitinya berdasarkan pengalaman penguatkuasaan halal, produk dan syarikat yang namanya tertera pada sijil inipun selalunya tidak digunakan/dijual di premis berkenaan. Justeru walau apapun persepsi anda, situasi ini adalah menyalahi etika sosial pengusaha – pelanggan dan undang - undang negara serta tidak boleh dibiarkan berterusan.

Sebagai pengguna yang berkuasa, tanpa sokongan dan permintaan kita mereka pasti terjejas. Teliti dan kenal pasti tindakan – tindakan seperti ini oleh pengusaha. Hentikan segera sokongan terhadap mereka. Pertikai dan persoalkan tindakan mereka. Jika setiap dari kita boleh mengambil peranan ini insya-Allah mereka akan berfikir semula banyak kali. Panjangkan aduan anda kepada agensi penguatkuasaan halal seperti Jabatan Agama Islam dan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ayuh mari kita lakukan!!

Sekian, wassalam.

Saturday, December 11, 2010

Jadikan Halal Agenda dan Azam Tahun Baru Hijrah

Sejauh mana sensitiviti kita terhadap status halal produk harian kita? Adakah semuanya jelas status halalnya. Setidak - tidaknya berapa peratus yang jelas pengesahan halalnya. Berapa ramai pula diantara kita yang pernah memikirkan perkara ini dengan serius?

Jika kita renung - renungkan sejenak kehidupan seharian kita selama ini pasti ramai yang setuju bahawa masih banyak produk makanan dan barang gunaan harian kita yang tiada pengesahan halal. Secara khusus, setakat mana status halal produk berikut kita yakini?

1. Makanan/minuman
2. Produk penjagaan dan perapian diri (contoh : sabun, ubat gigi, kosmetik)
3. Produk kesihatan (tambahan khasiat makanan, ubat)

Masih banyak yang tiada pengesahan halal bukan?

Selain status halal produk - produk di atas, perkara lain yang ingin saya kongsikan di sini adalah tentang sejauhmana kita menyokong dan menggunakan produk keluaran pengusaha Islam yang disahkan halal. Perkara ini tidak pula bermaksud bahawa saya anti kepada pengusaha bukan Islam.

Ini juga satu perkara yang saya kira memang berat termasuk saya untuk memenanginya 100% dalam situasi industri makanan dan barang gunaan pada hari ini masih dikuasai oleh pengusaha bukan Islam. Katakanlah apa sahaja, realitinya hampir semuanya masih perlu bergantung kepada pengusaha bukan Islam.

Sebenarnya telah ada kecenderungan dikalangan segelintir usahawan muslim khususnya bumiputera Melayu yang telah menceburi bidang perusahaan di atas walaupun masih kecil dan terhad. Saya kira kredit dan sokongan wajar diberikan kepada mereka ini kerana telah mewujudkan peluang dan alternatif kepada kita bagi mendapatkan barangan harian keluaran pengusaha Islam yang halal.

Harus diterima bahawa jika kita sebagai pengguna Islam sendiri tidak menyokong produk keluaran pengusaha Islam. Umat Islam memang akan kekal ditakuk lama pada hari ini, umat yang dianggap mundur.....kelas rendah.....dan lebih malang lagi sebagai pengganas.

Justeru, apakah jalan penyelesaian terbaik buat kita semua.

Ingin saya kongsikan pengalaman saya selama beberapa tahun ini dalam usaha menyokong dan menggunakan produk keluaran pengusaha Islam yang disahkan halal. Alhamdulillah saya hampir konsisten dalam perkara ini. Berikut adalah sebahagian contoh produk yang telah saya berjaya tukarkan.

1. minyak masak
2. ubat gigi
3. syampu
4. beras
5. krim rambut
6. kicap
7. mee

Tidak dinafikan harga dan kesetiaan/keselesaan saya terhadap sesuatu produk/jenama merupakan halangan utama yang sering membelenggu saya apabila kita mula berfikir untuk menukar produk/jenama sedia ada kepada produk keluaran Islam yang disahkan halal. Kadang kala walaupun dah cuba beristiqamah masih juga terbabas dek kerana kesukaran mendapatkan stok/bekalan produk berkenaan. Tekak dan hati saya juga memerlukan masa yang agak panjang untuk dididik semula menerima produk baru yang sedikit - sebanyak berbeza dengan produk lama

Memang sukar pada permulaan kerana kerana faktor - faktor diatas. Hakikatnya kita memerlukan satu pengorbanan, kesungguhan dan istiqamah dalam perkara ini. Cubalah dahulu, Insya - Allah pasti berjaya.

Akhir kata, sempena sambutan tahun 1432 hijrah ini marilah kita sama - sama berhijrah dalam perkara ini dengan membuat sedikit pengorbanan dengan berusaha menukarkan produk harian yang tiada pengesahan halal kepada yang disahkan halal dan dari pengusaha bukan Islam kepada keluaran pengusaha Islam yang disahkan halal .

wassalam.

salihinyusof@blogspot.com