Thursday, April 7, 2011

Minggu Halal Sedunia Di Malaysia

Awal bulan April 2011 merupakan tarikh penting perlu diketahui orang ramai tentang adanya aktiviti berkaitan halal bertaraf dunia di Malaysia. Sepanjang tarikh 4 sehingga 9 April 2011 ini berlangsungnya 4 program besar halal berikut:


Program 1 : Forum Halal Sedunia Kali Ke-6.
Tarikh : 4 & 5 April 2011

Tempat : Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)

Forum tahunan yang bermula sejak tahun 2005 pada tahun ini membawa tema 'Towards A Halal Economy - The Power Of Values In Global Markets'. Sebagaimana tahun - tahun sebelumnya, forum yang disertai sebahagian besarnya peserta luar negara tidak dapat saya sertainya kerana Pertamanya, ianya lebih menjurus tentang perniagaan berbanding hal ehwal pengurusan halal dan kedua yuran penyertaan yang saya kira mahal untuk wakil agensi kerajaan. Lebih kurang RM 1,000 - 1,600 (mengikut kriteria kelayakan)


Program 2 : World Halal Research Summit Kali Ke-4.
Tarikh : 6 & 7 April 2011
Tempat : Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)


Promosi 'complimentary registration' atau bahasa mudahnya masuk percuma emang mengujakan kerana pastinya forum yang menyentuh soal - soal kajian berkaitan isu halal pastinya sangat relevan dengan pengurusan halal. 'Catalyst For Growth In The Halal Industry' merupakan tema pada tahun ini. 16 kertas kerja yang dibentangkan benar - benar mencabar pemahaman peserta (termasuklah saya) kerana ada diantara topik pembentang selama dua hari yang mungkin terlalu teknikal. Malangnya topik hari kedua yang saya jangka lebih menarik tidak dapat saya ikuti langsung kerana komitmen program seterusnya di Pusat Konvensyen Putrajaya.


Program 3 : Persidangan Badan Pensijilan Halal Yang Diiktiraf JAKIM
Tarikh : 7 April 2011
Tempat : Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)

Semestinya program khusus anjuran JAKIM yang menghimpunkan kesemua badan pensijilan luar negara peluang keemasan bersua muka dengan wakil - wakil badan pensijilan antarabangsa. Program antara lain menjelaskan tentang 3 keperluan halal Malaysia berikut:

1. Polisi berkaitan badan pensijilan halal asing yang diiktiraf JAKIM
2. Pemeriksaan veterinar bagi loji penyembelihan negara luar
3. Protokol Malaysia berkaitan pengeluaran daging dan ayam halal

Persidangan ini turut menjadi platform bagi para peserta luar negara yang rata - rata memuji langkah Malaysia melaksanakan pengurusan halal dengan berkesan, pada masa yang sama meninjau peluang bantuan yang boleh diberikan kepada mereka menguruskan halal di negara yang Islam yang menjadi minoriti


Program 4 : Malaysian International Halal Showcase (MIHAS) Kali Ke-8
Tarikh : 6 sehingga 9 April 2011
Tempat : Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC)

Tahun ini menyaksikan program yang sebelumnya ini ditukarkan ke bangunan MATRADE selama beberapa tahun diubahkan kembali ke tempat sebelumnya iaitu Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Sebelum ini pada tahun - tahun awal penganjuran, MIHAS telah diadakan di Malaysian International Exhibition & Convention Centre (MIECC) di MINES, Seri Kembangan.

Semestinya kesempatan terbaik juga untuk semua orang mengunjungi program ini, termasuk juga saya yang telah ter'mis' beberapa tahun kerana komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Tahun demi tahun penganjuran program ini menyaksikan lebih banyak syarikat dan negara luar yang menyertai pameran ini.

Beberapa gerai yang saya anggap lain dari yang lain sempat saya singgah antaranya:
1. Gerai produk minyak pelincir industri jenama Castrol yang mendapat pengesahan halal
2. Gerai pinggan mangkuk porselain dari China yang merupakan China bone (tulang) porcelaine
3. Gerai pinggan mangkuk 'Luzerne' yang merupakan alternatif bone porcelaine atau new bone

Sememangnya acara sepanjang minggu ini amat menarik dan meletihkan buat mereka - mereka yang ambil tahu tentang isu halal haram makanan dan barang gunaan di Malaysia ini. Kecuali MIHAS yang masih ada masa sehingga hujung minggu ini untuk dikunjungi, tiga program teratas telah berlalu untuk tahun ini di Malaysia. Jika ada rezeki tahun depan lah pula kesempatan yang ada.
Wassalam.

Thursday, March 31, 2011

Cucilah Telur Ayam Dahulu..............

Antara kesilapan paling kerap saya lihat dalam proses pengeluaran produk halal adalah cara pengendalian sesuatu bahan mentah (tertentu) yang mengabaikan sifat dan sejarah terdahulu. Contoh paling mudah kita boleh temui dimana - mana sahaja adalah tentang telur ayam. Dimana - mana sahaja kita boleh lihat pengendali makanan sama ada di gerai menjual burger, restoran mahupun penjual nasi lemak, semuanya sama akan mengambil dan memecahkan telur secara terus dari bekas telur kertas tanpa mencucinya dengan air mengalir terlebih dahulu.

Semestinya semua pihak termasuk orang bukan Islam bersetuju bahawa tiada ada orang yang akan sanggup secara rasional memakan makanan yang bernajis sekalipun menyedari bahawa telur ayam adalah melalui saluran yang sama dengan najis untuk keluar dari badan ayam, ataupun ramai yang tidak menyedari realiti kejadian telur ini. fikir - fikirlah...

Friday, January 7, 2011

Aduan Keraguan / Penyelewengan Penandaan Halal Produk

Aduan Keraguan / Penyelewengan Penandaan Halal Produk

Seringkali kita berada dalam situasi ragu – ragu terhadap status halal sesuatu produk atau mengesyaki berlakunya penyelewengan penandaan halal pada sesuatu produk atau premis. Dimanakah perkara ini akan anda panjangkan/dirujuk? Umumnya ramai bersetuju bahawa Jabatan Agama Islamlah tempatnya.

Setiap aduan sememangnya akan diuruskan secepat yang boleh dan sebaik yang mungkin. Namun begitu ramai dikalangan kita tidak sedar bahawa sebahagian aduan yang diterima ini bermasalah dan tidak dapat diuruskan dengan baik lantaran kualiti aduan yang diterima tidak menepati standard yang sepatutnya.

Dua masalah utama yang menyebabkan sesuatu aduan ini bermasalah adalah:

1. Latar belakang dan maklumat diri pengadu.

Tiga situasi biasa dalam perkara ini.

i. Pertama, pengadu hanya akan memberi maklumat kes dan tidak meningggalkan sebarang pengenalan diri kerana bimbang risiko kebocoran maklumat peribadinya yang boleh menjejaskan keselamatan dirinya.

ii. Kedua, pengadu akan memberi maklumat kes dan juga maklumat peribadinya tetapi pada tahap yang paling minimum (nama dan nombor telefon)

iii. Ketiga, pengadu akan memberi maklumat kes dan maklumat peribadinya dengan agak terperinci. (nama, alamat, kad pengenalan, no. telefon dll)

2. Fakta dan maklumat yang diadu

Secara jujur tidak ramai dikalangan pengadu yang sebenarnya mampu memberikan maklumat kes dengan sempurna. Kebanyakannya hanya mampu untuk memberikan maklumat umum kes. Contohnya yang paling biasa seperti ini:

Kes premis:

Restoran X yang terletak di seksyen 14 Petaling Jaya dipercayai milik bukan Islam, mempamer logo halal/tanda halal/ayat – ayat suci al-Quran, pekerja majoriti bukan Islam. Dikunjungi ramai orang Islam tetapi saya meragui status halal makanan.

Kes produk:

Produk Y ini diragui status halalnya dan tiada sebarang tanda pengesahan halal.

Sebenarnya semua situasi ini mendatangkan masalah apabila dikemukan kepada Jabatan Agama Islam untuk tindakan susulan.

Saturday, December 18, 2010

Sijil Pengesahan Halal (SPH) Fotostat

Jika kita sedikit cermat dan bernasib baik, kita akan menjumpai premis perniagaan tertentu (kebanyakannya restoran) cenderung untuk mempamerkan SPH fotostat di sudut premis yang strategik seperti pintu kaca laluan masuk atau tempat memperagakan produk. Cuba luangkan sedikit masa yang ada dan buatlah pengamatan terhadap maklumat yang tertera pada SPH fotostat ini.

Jika sijil ini diperagakan di restoran, maklumat yang biasa tertera pada sijil ini adalah status halal bagi produk – produk tertentu seperti ayam keluaran syarikat A, atau mungkin fishball keluaran syarikat B dan bukannya maklumat yang menyebut secara khusus nama /alamat premis berkenaan serta status halal produk untuk jualan/keluaran premis berkenaan. Situasi yang sama juga berlaku jika sijil ini diperagakan di premis lain seperti pasaraya atau kedai – kedai tertentu.

Apakah persepsi anda sekiranya maklumat yang tertera pada sijil – sijil ini berbeza dengan apa yang ada di premis berkenaan. Mengejutkan? Ada yang tidak kena? Tak mengapa? Harus diingat, tindakan para pengusaha ini sebenarnya hanyalah helah palsu bagi memerangkap pengguna yang baik sangka tidak kena tempat atau ‘main belasah’ kononnya premis berkenaan halal.

Realitinya berdasarkan pengalaman penguatkuasaan halal, produk dan syarikat yang namanya tertera pada sijil inipun selalunya tidak digunakan/dijual di premis berkenaan. Justeru walau apapun persepsi anda, situasi ini adalah menyalahi etika sosial pengusaha – pelanggan dan undang - undang negara serta tidak boleh dibiarkan berterusan.

Sebagai pengguna yang berkuasa, tanpa sokongan dan permintaan kita mereka pasti terjejas. Teliti dan kenal pasti tindakan – tindakan seperti ini oleh pengusaha. Hentikan segera sokongan terhadap mereka. Pertikai dan persoalkan tindakan mereka. Jika setiap dari kita boleh mengambil peranan ini insya-Allah mereka akan berfikir semula banyak kali. Panjangkan aduan anda kepada agensi penguatkuasaan halal seperti Jabatan Agama Islam dan Kementerian Perdangangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ayuh mari kita lakukan!!

Sekian, wassalam.

Saturday, December 11, 2010

Jadikan Halal Agenda dan Azam Tahun Baru Hijrah

Sejauh mana sensitiviti kita terhadap status halal produk harian kita? Adakah semuanya jelas status halalnya. Setidak - tidaknya berapa peratus yang jelas pengesahan halalnya. Berapa ramai pula diantara kita yang pernah memikirkan perkara ini dengan serius?

Jika kita renung - renungkan sejenak kehidupan seharian kita selama ini pasti ramai yang setuju bahawa masih banyak produk makanan dan barang gunaan harian kita yang tiada pengesahan halal. Secara khusus, setakat mana status halal produk berikut kita yakini?

1. Makanan/minuman
2. Produk penjagaan dan perapian diri (contoh : sabun, ubat gigi, kosmetik)
3. Produk kesihatan (tambahan khasiat makanan, ubat)

Masih banyak yang tiada pengesahan halal bukan?

Selain status halal produk - produk di atas, perkara lain yang ingin saya kongsikan di sini adalah tentang sejauhmana kita menyokong dan menggunakan produk keluaran pengusaha Islam yang disahkan halal. Perkara ini tidak pula bermaksud bahawa saya anti kepada pengusaha bukan Islam.

Ini juga satu perkara yang saya kira memang berat termasuk saya untuk memenanginya 100% dalam situasi industri makanan dan barang gunaan pada hari ini masih dikuasai oleh pengusaha bukan Islam. Katakanlah apa sahaja, realitinya hampir semuanya masih perlu bergantung kepada pengusaha bukan Islam.

Sebenarnya telah ada kecenderungan dikalangan segelintir usahawan muslim khususnya bumiputera Melayu yang telah menceburi bidang perusahaan di atas walaupun masih kecil dan terhad. Saya kira kredit dan sokongan wajar diberikan kepada mereka ini kerana telah mewujudkan peluang dan alternatif kepada kita bagi mendapatkan barangan harian keluaran pengusaha Islam yang halal.

Harus diterima bahawa jika kita sebagai pengguna Islam sendiri tidak menyokong produk keluaran pengusaha Islam. Umat Islam memang akan kekal ditakuk lama pada hari ini, umat yang dianggap mundur.....kelas rendah.....dan lebih malang lagi sebagai pengganas.

Justeru, apakah jalan penyelesaian terbaik buat kita semua.

Ingin saya kongsikan pengalaman saya selama beberapa tahun ini dalam usaha menyokong dan menggunakan produk keluaran pengusaha Islam yang disahkan halal. Alhamdulillah saya hampir konsisten dalam perkara ini. Berikut adalah sebahagian contoh produk yang telah saya berjaya tukarkan.

1. minyak masak
2. ubat gigi
3. syampu
4. beras
5. krim rambut
6. kicap
7. mee

Tidak dinafikan harga dan kesetiaan/keselesaan saya terhadap sesuatu produk/jenama merupakan halangan utama yang sering membelenggu saya apabila kita mula berfikir untuk menukar produk/jenama sedia ada kepada produk keluaran Islam yang disahkan halal. Kadang kala walaupun dah cuba beristiqamah masih juga terbabas dek kerana kesukaran mendapatkan stok/bekalan produk berkenaan. Tekak dan hati saya juga memerlukan masa yang agak panjang untuk dididik semula menerima produk baru yang sedikit - sebanyak berbeza dengan produk lama

Memang sukar pada permulaan kerana kerana faktor - faktor diatas. Hakikatnya kita memerlukan satu pengorbanan, kesungguhan dan istiqamah dalam perkara ini. Cubalah dahulu, Insya - Allah pasti berjaya.

Akhir kata, sempena sambutan tahun 1432 hijrah ini marilah kita sama - sama berhijrah dalam perkara ini dengan membuat sedikit pengorbanan dengan berusaha menukarkan produk harian yang tiada pengesahan halal kepada yang disahkan halal dan dari pengusaha bukan Islam kepada keluaran pengusaha Islam yang disahkan halal .

wassalam.

salihinyusof@blogspot.com



Saturday, November 13, 2010

Operasi Ayam @ Selayang.

Terasa lama sungguh tidak menjengah blog ini membuat pengisian dek tugasan pejabat yg padat dan masalah konsentrasi di rumah. Lewat malam Jumaat yang lalu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah menjemput kami membuat siasatan/penguatkuasaan operasi premis penyembelihan ayam di sekitar Selayang. 5 premis telah diperiksa sebagaimana laporan akhbar berikut:





boleh rujuk laporan akhbar Harian Metro versi online
13 November 2010 yang bertajuk 'JAIS serbu Pasar Borong Selayang - pekerja lari lintang pukang'






atau boleh rujuk laporan akhbar Utusan Kosmo versi online 13 November 2010 yang bertajuk 'Seorang sembelih 1000 ekor'

Saturday, October 23, 2010

Wujudkah Undang - Undang Halal Di Malaysia?

Setiap kali mendengar laporan tentang isu halal - haram di media massa, barangkali pernah kita terfikir bahawa pihak kerajaan seperti tidak serius dengan isu halal - haram dan berbuat sesuatu dari sudut undang - undang sehingga kes - kes penyelewengan yang didedahkan seperti tidak berkesudahan.

Dimanakah kedudukan halal - haram ketika ini dan benarkah kerajaan tidak serius serta tidak membuat apa - apa dari sudut undang - undang?

Sehingga ke hari ini di Malaysia belum ada satu undang - undang khusus di wujudkan bagi halal - haram makanan dan barang gunaan. Satu situasi yang pasti mengundang kehairanan dan pelbagai persoalan ramai orang walaupun Malaysia telah 53 tahun merdeka. Insya - allah akan diulas pada masa akan datang.

Justeru, apa yang digunakan ketika ini bagi menangani isu halal - haram khususnya yang berkaitan dengan penyelewengan? Secara umum isu halal - haram ditangani melalui undang - undang yang telah sedia wujud yang agak terhad tafsirannya, bersifat sebahagiannya dan ada di beberapa agensi kerajaan. Peruntukan undang - undang ini wujud seperti berikut:

1. Akta Perihal Dagangan, 1972
- Perintah Perihal Dagangan : Penggunaan Perbahasaan" HALAL", 1975

2. Akta Kastam, 1967
- Peraturan Pengimportan Daging Halal, 1982

3. Enakmen Jenayah Syariah Negeri - Negeri
- Contoh: Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor), 1995

4. Akta Kerajaan Tempatan, 1976
- Undang - Undang Kecil Iklan "HALAL" PBT (contoh : MBSA), 2007
(undang - undang ini hanya wujud ketika ini di Selangor)

Sekian, wassalam

www.salihinyusof.blogspot.com

24 Oktober 2010 @ 08;26 am