Aduan Keraguan / Penyelewengan Penandaan Halal Produk
Seringkali kita berada dalam situasi ragu – ragu terhadap status halal sesuatu produk atau mengesyaki berlakunya penyelewengan penandaan halal pada sesuatu produk atau premis. Dimanakah perkara ini akan anda panjangkan/dirujuk? Umumnya ramai bersetuju bahawa Jabatan Agama Islamlah tempatnya.
Setiap aduan sememangnya akan diuruskan secepat yang boleh dan sebaik yang mungkin. Namun begitu ramai dikalangan kita tidak sedar bahawa sebahagian aduan yang diterima ini bermasalah dan tidak dapat diuruskan dengan baik lantaran kualiti aduan yang diterima tidak menepati standard yang sepatutnya.
Dua masalah utama yang menyebabkan sesuatu aduan ini bermasalah adalah:
1. Latar belakang dan maklumat diri pengadu.
Tiga situasi biasa dalam perkara ini.
i. Pertama, pengadu hanya akan memberi maklumat kes dan tidak meningggalkan sebarang pengenalan diri kerana bimbang risiko kebocoran maklumat peribadinya yang boleh menjejaskan keselamatan dirinya.
ii. Kedua, pengadu akan memberi maklumat kes dan juga maklumat peribadinya tetapi pada tahap yang paling minimum (nama dan nombor telefon)
iii. Ketiga, pengadu akan memberi maklumat kes dan maklumat peribadinya dengan agak terperinci. (nama, alamat, kad pengenalan, no. telefon dll)
2. Fakta dan maklumat yang diadu
Secara jujur tidak ramai dikalangan pengadu yang sebenarnya mampu memberikan maklumat kes dengan sempurna. Kebanyakannya hanya mampu untuk memberikan maklumat umum kes. Contohnya yang paling biasa seperti ini:
Kes premis:
Restoran X yang terletak di seksyen 14 Petaling Jaya dipercayai milik bukan Islam, mempamer logo halal/tanda halal/ayat – ayat suci al-Quran, pekerja majoriti bukan Islam. Dikunjungi ramai orang Islam tetapi saya meragui status halal makanan.
Kes produk:
Produk Y ini diragui status halalnya dan tiada sebarang tanda pengesahan halal.
Sebenarnya semua situasi ini mendatangkan masalah apabila dikemukan kepada Jabatan Agama Islam untuk tindakan susulan.